Ciri-ciri Emydocephalus annulatus

Dinamakan kerana kepalanya yang pendek dan tumpul, ular bersaiz sederhana ini mempunyai bentuk yang langsing dan berbeza-beza dari segi warnanya. Setiap seekor mungkin mempamerkan hanya satu warna, atau mungkin mempunyai corak berjalur putih atau kuning dengan gegelang gelap. Sisik di bahagian atas kepalanya adalah besar, teratur, dan menyeluruh. Sisik rostral pada hujung muncungnya berbentuk kon, dan sisik kedua daripada tiga sisik supralabialnya adalah yang terbesar. Badannya mempunyai 15–17 baris sisik yang licin dan bertindih. Spesies ini mempunyai 125–145 sisik ventral, sisik anal tunggal, dan 20–33 sisik subkaudal tunggal.[3] Spesies ini mampu membesar hingga 103 cm(41 inci) dari segi ukuran panjang badan.[2]

Warna setiap seekor ular ini mempengaruhi jumlah kotoran alga yang terkumpul pada tubuhnya. Ular berwarna gelap dan kurang bercorak mempunyai kadar pengumpulan alga lebih tinggi berbanding ular yang berwarna lebih pudar dan bercorak. Penambahan berat dari alga ini mempengaruhi kelajuan pergerakan ular ini dengan mengurangkan kelajuan mereka hingga sebanyak 20%. Ular yang terkesan lebih cenderung untuk menjadi kurang aktif, lalu menyembunyikan diri di sebalik batu-batu karang manakala ular yang tidak mempunyai kotoran alga mencari makan secara lebih aktif. Walaubagaimanapun, hal ini tidak membawa sebarang perubahan kepada kadar kemandirian mereka.[4]

Berkaitan